Sebuah kereta Honda City hitam membelok masuk ke sebuah tapak perkuburan yang tertera nama Taman Barzakh. Lelaki yang berbaju Melayu berwarna krim itu keluar dari keretanya berjalan lemah menuju ke tempat orang yang pernah dibencinya dulu berada. Dia mencangkung mencabut rumput yang tumbuh di atas pusara di hadapannya. Dia duduk dan membaca Surah Yaasin dengan suara tersekat-sekat sambil membiarkan air matanya mengalir di pipi.
Dalam dunia ini, Fariz hanya pertaruhkan dua perkara. Duit dan nyawa. Duit untuk memikat perempuan dan nyawa untuk melindungi dirinya. Cinta? Apa dia peduli, membosankan baginya! Itulah sebab mengapa dia sering bertukar pasangan di ranjang hotel atau rumah sewanya. Baginya had cinta untuk seorang perempuan hanya seminggu tidak lebih dari itu.
Malah dalam komuniti kelab malam, dialah raja dan playboy yang paling popular dan mendapat perhatian ramai wanita yang datang sama ada hanya sekadar untuk berhibur atau merasai nikmat bersama dengannya. Hukum agama? Halal haram sedikit pun dia tak peduli. Baginya hidup ini hanya sekali, jadi bergembiralah sepuas-puasnya. Taubat? Jawapan Fariz cukup mudah, tunggu bila dah tua atau senja nanti tapi Fariz tidak sedar yang rumahnya telah kata pergi dan kuburnya telah kata mari.
“Fariz, ayah rasa kau dah patut mendirikan rumahtangga sekarang” Soalan yang paling bosan dan malas untuk dijawabnya, kembali disuarakan oleh ayahnya pada malam dia ingin keluar enjoy seperti biasa.



