Hari ini semua adik beradik pulang beraya di Kuala Lumpur setelah beraya di kampung mertua. Ibu yang di KL agak kesunyian, tetapi setelah mendengar abang dan kakak-kakak hendak datang beraya ,ibu gagahi juga bangun pagi menggoreng nasi buat santapan pagi mereka yang akan datang nanti.
Aku yang bongsu tinggal dirumah sambil menolong apa yang patut memerhati kegagahan ibu yang sememangnya aku tahu sakit dan bengkak kakinya semakin menjadi-jadi semenjak bulan puasa tempohari. Aku minta untuk membantu,
“Tak payah” katanya
“Biar mak yang buat nanti lain rasanya”.
Aku biarkan sahaja walau dalam hati terasa pedih dan sayu melihat kegagahan mak nak juga sediakan nasi goreng untuk anak-anaknya yang baru nak merayakan hari raya bersamanya.
Aku tahu disudut hati mak ada rasa sedih dan sayu kerana anak lelakinya tak beraya bersama di pagi raya..tetapi langsung tidak ditunjuk malah ingin pula menjamu anaknya. Terhinjut-hinjut mak kesana ke mari mengambil bahan-bahan nasi goreng. bukan main khusyuk dan bersungguh cuba menyediakan juadah yang semampunya.



