Archive for February, 2010
Pengajaran Dari Cinta
Bismillahirrahmanirrahim…Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha penyayang. Aku dilahirkan di muka bumi ini hasil daripada kasih sayang Mama dan Ayah. Ya, semuanya bermula dari kasih sayang. Ayah dan Mama telah memberikan aku nama Farina (bukan nama sebenar). Nama itu penuh maknanya tersendiri. Mama cakap maksud nama aku pemaaf. Maknanya aku ni mesti pemaaf orangnya.
Semasa kecil aku tidak pernah tahu apa itu masalah. Aku meneruskan hidup aku sama seperti kanak-kanak lain. Sewaktu umur aku enam tahun, keluarga aku dikejutkan sesuatu berita iaitu aku ditimpa musibah. Aku disahkan menghidap penyakit jantung yang digelar Rheumatic Fever. Ya, sejak aku berumur enam tahun aku telah menghidap penyakit itu. Aku tidak tahu apa-apa. Kerana ketika itu aku masih kecil. Aku mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur di bawah pengawasan Institut Jantung Negara sehingga kini. Kira-kira sudah hampir 13 tahun aku menghidap penyakit ini.
Tapi kini, doktor memberitahu, aku sudah pulih tapi belum sepenuhnya. Aku mendapati aku tidak boleh terlalu kerap sangat berfikir. Terutama tentang masalah-masalah yang aku hadapi. Ini kerana situasi itu akan memberi kesan kepada kesihatan aku terutama pada jantung aku. Mama dan Ayah sering sibuk dengan kerja-kerja mereka di pejabat. Aku tidak pernah salahkan mereka kerana kekurangan kasih sayang dan perhatian.
Kesatlah Airmatamu Wanita
“Apabila hati terikat dengan Allah, kembalilah wanita dengan asal fitrah kejadiannya, menyejukkan hati dan menjadi perhiasan kepada dunia – si gadis dengan sifat sopan dan malu, anak yang taat kepada ibu bapa, isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya pada suami.”
Bait-bait kata itu aku tatapi dalam-dalam. Penuh penghayatan. Kata-kata yang dinukilkan dalam sebuah majalah yang ku baca. Alangkah indahnya jika aku bisa menjadi perhiasan dunia seperti yang dikatakan itu. Ku bulatkan tekad di hatiku. Aku ingin menjadi seorang gadis yang sopan, anak yang taat kepada ibu bapaku dan aku jua ingin menjadi seorang isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya untuk suami, kerana Allah.
Menjadi seorang isteri….kepada insan yang disayangi…..idaman setiap wanita. Alhamdulillah, kesyukuran aku panjatkan ke hadrat Ilahi atas nikmat yang dikurniakan kepadaku.
Baru petang tadi, aku sah menjadi seorang isteri setelah mengikat tali pertunangan 6 bulan yang lalu. Suamiku, Muhammad Harris, alhamdulillah menepati ciri-ciri seorang muslim yang baik. Aku berazam untuk menjadi isteri yang sebaik mungkin kepadanya.