Kedinginan bumi Switzerland mencengkam sampai ke tulang. Serasa tidak mahu melepaskan selimut yang membalut diri. Tapi tanggungjawab kepada 2 insan teristimewa dalam hidupku perlu diteruskan. Sambil menyediakan sarapan pagi dapat ku lihat hujan renyai dari tingkap kaca dapurku. Rindu pada kenangan lama menggamit memori.
Hujan petang hari ini cukup dingin dan membekukan. Lama sungguh bumi USM tidak dibasahi hujan. Hampir 3 bulan rasanya. Dan hujan hari ini adalah Rahmat Allah yang tak terhingga. Rindu benar rasanya akan kedinginan dan bau hujan yang menyenangkan.
“Ayunie!! Cepatlah!!” jerit Dalia sebaik sahaja keluar dari dewan kuliah. Hujan-hujan macam ni semua dah tak sabar nak balik ke bilik. Bagaikan ada tilam,bantal dan selimut yang memanggil melambai-lambai minta pulang segera. Hehehe…
“Sabarlah,bukan senang nak dapat hidu bau hujan ni. Wow!!nyamannya” bagaikan gelagat seorang puteri di taman istana sedang menghidu haruman bunga.
“Gila apa budak ni?? Bau hujan dikata nyaman?? Dah buang tebiat lah tu” bebel Qistina sambil melangkah laju menyusuri susur gajah ke asrama perempuan. Tiba di laluan yang tiada susur gajah, kami terpaksa berlari supaya tidak dibasahi hujan. Nasib baik tak jauh. Jadi tak adalah kami basah sangat.



