“Hud..” Nenek panggil aku.
“Ye nek.” Aku jawab panggilan nenek.
“Kau nak kahwin dengan si Iche tu ke?” Nenek tanya sambil sengih-sengih.
“Tak la.”
“Apaaa??” Nenek dah terjerit dengan jawapan aku. “Kalau bukan dengan budak tu, dengan siapa pulak?” Mata nenek mencerun tajam ke arah aku. “Kalau bukan dengan Iche, nenek tak nak join rombongan kau tu. Titik.” Nenek aku dah macam indon-indon pulak main titik-titik bagai.
Aku gelak. Tengok nenek teringat dia. Serupa saja perangai nenek ni dengan si Iche. Memang patut pun aku dapat sakit kepala nak bezakan dua orang ni. “Nenek ni.. Hud cakap tak habis lagi dah main sampuk-sampuk. Cuba sabar kejap..”
Sekarang ni aku dengan nenek dah bersila depan ruang tamu. Kaki kanan nenek aku capai dan tarik ke arah sila aku. Tangan mula melaksanakan rutin. Kaki nenek aku urut-urut perlahan. “Bukan dengan Iche, tapi dengan Nafisha la nek.” Aku sengih.
“Kuk!”
Haa.. Kena ketuk lagi. Nenek ni ganas betul la. Cuba ayu sikit kan comel gitu.. Haish..
“Apa salah Hud?” Aku tanya sambil buat muka kesian dan kesedihan..
Nenek ketawa kuat-kuat. “Padan la dengan muka kau. Cari pasal dengan nenek kau ni siapa suruh. Haa.. Memang patut kena ketuk kepala tu. Mana aku letak tukul entah.. Tukul ooo tukuul.. Dimanakah kau??” Nenek dah menjerit menyeru nama penukul.
Terus aku peluk nenek kuat-kuat. Suka tengok nenek macam ni.. “Hud saaayaaangg nenek!!”
“Yer la tu..”
Seminggu berlalu sejak daripada aku ajak nenek hantar rombongan..
“Nekk.. mana ada orang nak bertunang, lelaki pergi rumah ikut sekali..” Aku buat muka cuak depan nenek sebab mak bapak aku dah menapak masuk dalam rumah. Nenek dengan aku saja yang terpacak dekat luar.
Nenek buat muka kat aku. Entah muka spesis apa pun tak tahu la. Tapi yang pastinya muka itu sangatlah buruk. Mimpi ngeri aku kalau tengok muka nenek macam ni tiap hari. Tiba-tiba telinga aku kena pulas.
Nenek kejam!
“Yang kau ni spesis tradisional sangat dah kenapa? Ketinggalan zaman betul la cucu aku ni. Budak-budak zaman kau ni kan, kalau dah bertunang tu macam orang dah nak menikah. Konon lelaki tak boleh datang.. Piiraahh..” Suara nenek macam ayam..
Aku tengok nenek dengan mata terbeliak dan gigi yang hampir nak luruh sebab ternganga luas sangat. Akhirnya aku selesai dan selamat bertunang dengan normal. Tiada la macam nak menikah yang nenek cakap tu. Seram..
Masa bertunang tu, aku memang tak boleh nak lupa reaksi si Iche. Serius tak rugi aku jadi budak zaman sekarang. Nasib la aku ada nenek moden yang menasihati aku dengan ‘baik’. Disebabkan aku dengan nenek masuk dalam rumah lambat sedikit daripada geng-geng rombongan yang lain..
“Awaaakkk!!!”
Aku terkejut dengan suara nyaring Iche dekat depan pintu. Bukan pintu rumah, tapi pintu ruang tamu.. Bapak besar rumah si Iche ni. Memang patut la dia tak de kampung kan kalau dah kaya macam ni. Hampir saja aku sesat nak mencari ruang tamu ni tadi. Nenek pulak berdiri kat belakang aku sebab dari tadi aku ni kena tolak-tolak dengan dia suruh masuk rumah jugak-jugak.
Nak tak nak aku dah depan si Iche yang tengah..
“Awak.. Kenapa awak datang masa ni? Awak tahu tak saya tengah nak bertunang sekarang? Awak tak boleh macam ni. Saya dah nak terjadi tunang orang tau tak. Ni semua sebab awak la. Awak dah tak boleh nak halang saya lagi macam dalam drama-drama tu tau. Kita ni ada agama. Tak baik kacau tunang orang kan.”
Panjang lebar dia bersyarah kat aku.. kuat pulak tu..
Tapi.. mata aku dah macam nak tercabut keluar apabila terpandangkan bakal bapa mertua aku yang..
“Awak jangan buat muka terkejut macam tu. Comel tau tak awak ni. Nanti saya meraung kat sini, malu la tunang saya tu. Mana mak bapak saya nak letak muka.. Malu awak ehh..”
“Naaafiishaaa!!!” Suara bakal bapa mertua aku dah keluar macam singa.. macam mana la tak jadi singa kalau dah kena..
Siram dengan air oren..
“Ohh bapak engkau oooren..” Terpelanting jag plastik yang dah kosong isinya. Nasib la plastik.. Kalau kaca, mahu arwah orang yang terkena balingan dia ni. Melatah pun dah macam nenek. Penat perut aku tahan ketawa.
Bakal bapak mertua aku yang dah mandi dengan air oren tengok kami dua orang. “Iman.. tercegat apa kat sini, pergi duduk.” Dia arah aku masuk ruang tamu dan duduk. “Nafisha!! Yang kamu ni perasan macam heroin dalam drama dah kenapa? Dia tu la bakal tunang kamu!”
Last-last.. satu ruang tamu pecah dengan ketawa semua orang.