• Sudahkah anda menulis Diari Cinta anda hari ini?
    Sebagai forumer Forum Tentang Cinta, anda kini boleh menulis dan mencoret kisah manis cinta anda di ruangan Diari Cinta. Hanya satu diari sahaja ya dibenarkan untuk setiap seorang.

Bertaut kembali

Assalamualaikum dan salam perkenalan semua

Boleh panggil misscactus aje.☺☺

Actually sebelum ni pernah join forum cinta ni..pakai nama lain. Dah bertahun dah.

Hari ni tergerak hati nak come back semua ke sini...

Rindu rasanya...

Misscactus nak mula share dengan korang semua cerita yang dikarang miss cactus..

Hopefully korang sukalah

Selamat membaca
 
BERTAUT KEMBALI BAB 1

BUNGA mawar di tangannya terlepas jatuh ke atas tanah. Melutut dia di situ. Air matanya perlahan-lahan jatuh membasahi pipinya. Hancur luluh hatinya menyaksikan apa yang terhidang di matanya saat ini. Menggeleng tidak percaya dia di situ. Dia tidak mampu untuk menerima kenyataan ini. Bertahun dia setia, akhirnya ini yang menjadi hadiah buat dirinya. Betapa kejam hatinya dirobek kala ini.

"Dany..."

Daniel langsung tidak menghiraukan pada si pemanggil. Matanya hanya tepat memandang ke arah seorang wanita yang sedang elok duduk di atas pelamin itu.

"Dany!"

Keras sedikit suara itu memanggil dirinya. Perlahan-lahan Daniel berpaling ke arah yang memanggilnya tadi.

"Mawar tak salah Dany. Dia terpaksa," kata Aishah.

"Kenapa? Kenapa dia tak tunaikan janji dia? Aku terus datang sini semata-mata untuk dia tapi..." Daniel menekup wajahnya. Makin lebat air mata yang berjuraian di pipinya. Tidak dihiraukan langsung pada mata-mata yang melihat dirinya.

"Anggap saja kau tak ada jodoh dengan dia." Aishah cuba memujuk. Dia sendiri kasihankan Daniel tapi tanpa Daniel sedari, Mawar lagi terseksa sebenarnya. Kalaulah Daniel muncul sebelum semua ini berlaku, pasti Mawar tidak perlu menjadi seperti patung tidak bernyawa di atas pelamin itu.

"Aku nak jumpa dia. Aku mahukan penjelasan." Daniel sudah bangun berdiri semula. Air mata yang bersisa dibiarkan saja. Kaki laju melangkah menuju ke arah pelamin. Biar wanita itu sedar kehadirannya di sini.

"Jangan burukkan keadaan Dany. Kasihankan Mawar. Kau baliklah Dany. Mawar bukan jodoh kau. Terima kenyataan ini Dany." Aishah cuba menahan langkah Daniel. Sekuat mungkin dia memaut lengan Daniel. Cukuplah penderitaan yang ditanggung Mawar selama ini.

"Aku nak tuntut janji dia pada aku." Wajah Dany kelihatan tegang. Bergerak-gerak rahangnya menahan rasa marahnya. Tangan Aishah yang memaut lengannya, ditepis. Direntap kasar sehingga terlepas pautan Aishah.

"Aku janji akan bawa kau jumpa dia. Sekarang kau balik dulu. Hormatkan majlis orang, Daniel." Aishah masih cuba menahan Daniel daripada menuju ke arah Mawar. Keadaan akan menjadi makin teruk jika Daniel muncul sekarang.

"Aku tak perlu nak hormatkan majlis perempuan curang macam dia. Berani dia bersumpah untuk setia dengan aku, sedangkan dia..." Daniel menggeleng. Kesal sungguh dengan apa yang terjadi. Cintanya yang ikhlas itu dibalas duka oleh wanita itu.

"Kau tak tahu apa yang jadi. Jangan tuduh dia macam tu."

"Habis, kau nak aku gembira tengok dia bahagia di sana sedangkan aku merana di sini." Kakinya pantas bergerak menuju ke arah Mawar yang masih belum menyedari kehadirannya di situ.

"Jangan Dany. Aku merayu pada kau, tolong jangan burukkan keadaan. Aku janji aku akan bawa kau jumpa dia. Dia akan jelaskan apa yang terjadi sebenarnya." Aishah menghadang tubuh Daniel daripada terus melangkah.

"Jangan halang aku Aishah. Aku cuma nak dia tahu aku ada di sini. Aku nak dia lihat wajah aku yang kecewa dengan perbuatannya ini. Aku nak dia lihat lelaki yang dikecewakannya ini."
Tubuh Aisah di hadapannya ditolak ke tepi. Hampir tersungkur Aishah dibuatnya. Berubah wajah Aishah apabila melihat langkah Daniel yang semakin menghampiri pelamin itu. Laju kakinya melangkah. Namun ternyata sia-sia sahaja semuanya. Daniel sudah berada di depan pelamin.

"Tahniah." Sepatah perkataan yang keluar daripada bibir Daniel sebaik sahaja berada di situ.

Mawar yang terkejut, terus bangun berdiri. Tidak menyangka dia akan melihat wajah Daniel di sini. Pada hari persandingannya pula tu.

"Terima kasih kerana hancurkan hati yang tulus mencintai awak, Mawar. Terima kasih." Habis berkata-kata, Daniel terus melangkah meninggalkan Mawar tanpa sedikit pun berpaling mahu melihat wajah Mawar yang sudah bertukar mendung itu.

Gugur juga air matanya. Hatinya berkecai melihat air mata lelaki itu. Matanya dipejamkan. Rasa sakit di hatinya semakin parah. Tanpa sempat alasan diberikan, lelaki itu pergi meninggalkannya. Mawar menekup wajahnya. Menangis dia di atas pelamin itu. Tidak dihiraukan pada pandangan orang lain terhadapnya.

Malik mula mengetap giginya melihat keadaan isterinya itu. Kedua-dua belah tangannya dikepalkan. Bahang kemarahan mula terbias di wajahnya. Ternyata Mawar masih belum melupakan kekasihnya. Dia tidak mengenali lelaki itu tapi dia yakin pasti itulah lelaki yang menjadi penghalang untuk dia memiliki Mawar sebelum ini.

"Kau nak rosakkan majlis ni dengan air mata bodoh kau tu ke?" Malik berbisik perlahan di telinga Mawar. Dia tidak mahu maruahnya dipermainkan di majlisnya sendiri.
Mawar tersentak. Dia terlupa pada suaminya yang menyaksikan apa yang berlaku sebentar tadi. Kelat air liur yang dirasakan saat ini.

"Kau jangan nak malukan aku dekat sini? Aku tarik semula seperti yang pernah dijanjikan. Ingat Mawar, kau milik aku bukan jantan tu lagi." Malik tersenyum sinis. Mawar pasti takut dengan ugutannya itu. Kemenangan padanya apabila Mawar tiada jalan lain lagi melainkan terpaksa bersetuju sahaja untuk mengahwininya.

"Saya minta maaf..." Mawar cuba tersenyum pada suaminya walaupun dirasakan senyumannya itu tawar sahaja.

Aishah yang memandang hanya mampu melimpahkan rasa kasihan buat Mawar. Sahabatnya itu sentiasa menderita dengan hidupnya. Hanya kehadiran Daniel sahaja yang membuatkan sahabatnya bahagia. Kalau tidak kerana berpegang pada janjinya, memang akan diceritakan saja apa yang terjadi pada Daniel. Tapi jika diceritakan pun, segala-galanya tidak mungkin akan kembali seperti dahulu lagi. Mawar sudah menjadi milik lelaki bernama Malik itu. Kejam sungguh lelaki itu memperlakukan hidup Mawar. Dia bencikan lelaki itu.
 
BERTAUT KEMBALI BAB 2

LIMA tahun berlalu daripada kisah duka yang terjadi di dalam hidupnya. Dia bangkit setelah dikecewakan. Allah telah mengantikan sesuatu yang lebih berharga buatnya setelah hatinya terluka teruk dengan cinta. Ternyata cinta pada yang maha esa lebih manis rasanya daripada cinta seorang insan.

"Tuan Dany..."

Daniel mendongakkan kepalanya. Senyuman diberikan kepada setiausahanya itu.

"Ada apa Tina?"

"Rombongan daripada Thailand sudah sampai."

"Tolong inform pada Irwan sekali ya. Make sure jaga tetamu-tetamu kita tu dengan baik. Pastikan bilik-bilik yang diberi, bersih dan selesa ya." Daniel membetulkan kot yang tersarung kemas di tubuhnya.

"Kacak dah Tuan Dany..." usik Tina. Daniel hanya senyum. Dia kemudiannya berlalu keluar daripada biliknya.

Tina memandang belakang tubuh Daniel sehinggalah Daniel hilang daripada pandangannya. Sudah tiga tahun dia bekerja dengan lelaki itu. Tiga tahun jugalah dia dapat melihat wajah yang tanpa cahaya itu. Senyuman yang diberi Daniel tidak pernah manis. Semuanya hanya dirasakan tawar sahaja. Tapi dia kagum dengan semangat lelaki itu. Dalam usia seawal tiga puluh tahun, Daniel sudah berjaya di dalam hidupnya. Melihat betapa tekunnya Daniel bekerja, Tina tidak menolak memang itulah seharusnya dikecapi Daniel. Memiliki beberapa rangkaian hotel di Malaysia memang satu kejayaan buat Daniel.

*********************************************************************************************************************************************************************************************************

MAWAR mencedok nasi lalu diletakkan ke atas pinggan suaminya, Malik. Entah mengapa, menggigil-gigil tangannya ketika mahu meletakkan nasi itu ke atas pinggan Malik.

"Kau kenapa?" Malik menyambar pergelangan tangan Mawar. Digenggam kemas sehingga Mawar mengaduh kesakitan.

"Sakit abang..." perlahan saja suara Mawar memberitahu.

"Tahu sakit. Hati aku yang sakit ni ada kau ambil tahu? Ada ke?" Kasar pergelangan tangan Mawar dilepaskannya. Kuah kari di hadapan dicedok lalu di tuang pada nasinya.
Baru saja Mawar mahu menyuap nasi ke dalam mulutnya, Malik berbunyi lagi.

"Kau masak apa ni?" Buntang biji mata Malik pada Mawar. Mawar mula takut. Terbayang kekasaran Malik kepadanya sebelum ini.

"Aku tanya ni, kau masak apa ni?" Kuat suara Malik sehingga mengejutkan anak mereka yang sedang tidur itu.

"Papa..."

"Ni sekor lagi. Menyusahkan aku aje." Malik mahu bergerak mendekati Miranda tapi Mawar pantas mendapatkan anaknya itu. Dia tidak akan benarkan tubuh Miranda disakiti Malik. Biar dirinya saja yang disakiti bukan anaknya.

"Tak senang aku duduk dalam rumah ni. Aku nak keluar." Malik sudah beredar menuju ke dapur. Nasi yang baru sedikit disentuh ditepis kasar sehingga berterabur di atas lantai.
Mawar mengeluh lega. Jika Malik keluar, adalah sedikit ruang untuk dia dan Miranda bernafas di dalam rumah ini.

"Duit mana? Aku nak duit." Malik menyuakan tapak tangannya kepada Mawar.

Mawar memejamkan matanya. Baru sahaja dia mengeluh lega, rupa-rupanya tidak lama perasaan leganya itu bertapak dalam dirinya.

"Mawar tak ada duit abang." Takut-takut sahaja Mawar memberitahu.

Malik menunjal kepala Mawar berkali-kali.

"Kau jangan tipu aku. Kalau kau tak ada duit, mana kau dapat duit-duit ni. Kau jual tubuh kau ke?" Sinis senyuman diberikan kepada isterinya.

"Duit yang ada cukup-cukup untuk kita makan abang."

"Aku tak peduli. Aku tetap nak duit tu. Kalau kau tak bagi, aku akan bawa kau pergi melacur malam ni. Kau pilih mana kau nak?" Ugutan yang seringkali digunakan setiap kali Mawar enggan memberinya wang.

Ternyata ugutan Malik menakutkan dirinya. Cepat-cepat duit yang tersimpan di ambil lalu diberikan pada suaminya.

Malik tersenyum saja melihat beberapa keping not lima puluh ringgit itu. Dengan kasar dia merampas duit itu daripada Mawar.

"Abang tinggalkan sikit untuk Mawar belanja dalam rumah ni." Mawar cuba merayu. Masih ada beberapa hari saja lagi sebelum dia mendapat gaji. Jika Malik mengambil semuanya, apa yang mahu dia dan Miranda makan nanti?

"Kau dah nak gaji kan, tak lama lagi? Pandai-pandailah kau nak hidup dengan anak kau tu. Kau yang nak sangat lahirkan budak tu." Tubuh Mawar ditolaknya sehingga Mawar jatuh terduduk di atas lantai. Pipi Miranda dicuit sebelum Malik beredar daripada rumah itu.

Mawar hanya mampu mengalirkan air matanya. Lima tahun dia hidup menderita bersama lelaki itu. Tidak pernah sekali pun dia dilayan dengan baik oleh Malik. Hanya derita yang Malik bentangkan untuk dirinya. Malik lelaki penipu rupanya. Janji yang dibuat hanya tinggal janji bila dia mengetahui siapa Malik sebenarnya. Dia tergadai pada Malik kerana ayah dan ibunya. Sudahnya ayah dan ibunya tetap juga pergi meninggalkan dirinya menderita sendiri. Jika tidak disebabkan anaknya ini, memang sudah lama dia larikan diri daripada Malik. Pernah dia cuba untuk meminta penceraian daripada Malik, sudahnya Miranda yang menjadi mangsa. Malik mengugut akan menjual Miranda ke pasaran gelap sekiranya Mawar meninggalkannya. Memikirkan dia tiada sesiapa untuk membantunya, Mawar terpaksa akur untuk terus kekal sebagai isteri Malik. Biarpun selalu diseksa Malik, Mawar sedaya upaya bertahan demi anaknya ini.


Harap korang semua sudi baca kisah Mawar dan Dany...:):):)
 
Top