• Sudahkah anda menulis Diari Cinta anda hari ini?
    Sebagai forumer Forum Tentang Cinta, anda kini boleh menulis dan mencoret kisah manis cinta anda di ruangan Diari Cinta. Hanya satu diari sahaja ya dibenarkan untuk setiap seorang.

~Kekasih Atau Rakan Baik?~

dieda

Well-Known Member
Kadangkala perhatian yang ditunjukkan dan keserasian yang dirasakan apabila bersama rakan lelaki atau wanita boleh menyebabkan seseorang tersalah sangka atau keliru.

Adakah perasaan yang terdetik itu menggambarkan rasa cinta atau sekadar sayang sebagai sahabat?

Ada pula yang kecewa apabila perasaan cinta tidak berbalas apabila orang yang dianggap berkongsi rasa, sebenarnya hanya mempunyai rasa hormat, sayang dan kasih sebagai rakan, tidak lebih daripada itu.

Biarpun perasaan sesuatu yang berubah-ubah dan rasa kasih sayang dan cinta bergerak dalam satu garisan yang beriringan, ia mempunyai perbezaan yang besar sama ada mampu menyatukan sepasang hati sebagai kekasih ataupun sekadar sahabat karib.


Terdapat beberapa cara untuk seseorang boleh mengenal pasti sama ada perasaan yang wujud dalam hati masing-masing bersifat suka atau cinta. Antaranya memahami bahawa rasa cinta dan persahabatan sebenar mempunyai nilai yang hampir sama. Oleh itu, anda perlu benar-benar mendalami dan mengkaji perasaan terhadap orang yang dikasihi.

- Persahabatan sejati apabila dua rakan baik bertengkar, mereka masih setia sebagai kawan dan tidak akan ditinggalkan hanya kerana pergaduhan kecil.
Biarpun anda menyangka diri membencinya, kehidupan terasa kosong dan tidak sama tanpa dirinya.

Cinta juga membawa kepada perasaan yang sama namun lebih mendalam seperti apabila biarpun bergaduh, anda masih berharap orang dicintai berada hampir dengan anda dan merinduinya hinggakan anda berasakan biarlah kehilangan segalanya asalkan orang yang dicintai ada bersama.

- Menyedari sahabat sejati adalah seseorang yang anda boleh berkongsi pelbagai aktiviti dan pemikiran kerana rasa selesa dengan mereka.

Anda juga boleh memberitahu kepada mereka rahsia yang tidak sekali-kali dikongsi dengan orang lain.

Cinta pula apabila masalah timbul, anda akan berkongsi dengan orang itu kerana anda tahu mereka mengambil berat, mendengar dengan teliti dan memberikan nasihat yang membantu. Mereka tidak akan sekali-kali menunda untuk mendengar luahan hati anda dan bersedia pada bila-bila masa menjadi pendengar setia.

- Sahabat sejati akan mempertahankan anda daripada dibuli atau diejek oleh orang lain. Rakan anda juga akan memberi kata-kata semangat kepada anda. Mungkin dia akan mengatakan mereka yang mengejek anda sebagai orang yang negatif dan tidak mengenali diri anda yang sebenarnya.

Orang yang mencintai anda juga akan bangun mempertahankan hati anda daripada dilukai. Si dia mungkin mengatakan sesiapa yang membuli anda sebagai golongan yang tidak ada akal yang panjang. Mereka akan mengatakan anda sempurna seadanya dan tiada cacat cela pada diri anda.

- Persahabatan sejati apabila anda tahu biarpun anda berdua terpisah jauh, kedua-duanya akan berusaha untuk menghubungi satu sama lain tanpa mengira saluran yang digunakan kerana anda tidak mahu kehilangan rakan baik.

Bagi cinta pula, selalunya amat jarang bagi anda sanggup terpisah jauh biarpun sekejap. Sememangnya anda tidak perlu berada dengannya setiap saat tetapi sehari tidak berjumpa sudah pasti hati tidak keruan, apatah lagi jika berjauhan seminggu.

Orang yang mencintai anda juga sanggup menolak tawaran kerja di tempat lain atau turut membawa anda bersama daripada terpisah jauh biarpun sehari.

- Apabila rakan baik cuba merapati orang yang diminatinya, anda berasa gembira dan teruja untuk mereka. Sebaliknya sekiranya orang yang anda cintai cuba merapati orang lain, anda berasa amat cemburu.

Begitu juga apabila si dia beramah mesra dengan orang lain walaupun hanya sebagai rakan, anda berasa terancam tetapi jauh di sudut hati anda tahu hatinya milik anda.

- Sahabat sejati tahu menghargai anda seadanya dan tidak akan menyuruh anda berubah kerana pada kaca mata mereka anda sudah hebat.Rakan sejati tidak akan sesekali memaksa atau memberi tekanan kepada anda untuk melakukan sesuatu yang tidak disukai.

Biarpun begitu, kekasih mungkin akan memberi sedikit ‘paksaan’ kepada anda untuk melakukan sesuatu sekiranya ia perlu supaya anda dapat mencapai potensi sebenar diri.

Mereka dapat merasakan sendiri keinginan anda dan sekiranya anda memang benar-benar tidak mahu melakukan sesuatu, mereka akan berhenti memberi tekanan.

- Menyedari bahawa rakan baik akan menggalakkan anda menjadi insan lebih baik dengan merebut peluang yang ada, biarpun perkara itu tidak memberi kesan positif kepada mereka.

Kekasih juga akan memberi sokongan kuat kepada anda sekiranya anda mendapat peluang hebat untuk berjaya atau mengembangkan bakat. Mereka juga akan meyakinkan andalah yang terbaik serta lupakan kata-kata negatif daripada orang sekeliling. Mereka banyak membantu anda membuat keputusan yang sukar.

- Persahabatan sebenar wujud apabila anda berasa seolah-olah mempunyai adik, abang atau kakak yang anda tidak pernah ada sebelum itu terutama bagi mereka yang juga anak tunggal.

Cinta pula membuatkan anda berasa seperti bertemu sebahagian lagi diri anda dan ia melengkapkan diri anda sepenuhnya.

- Kedua-dua perasaan sayang sebagai sahabat dan cinta seorang kekasih kelihatan sama namun apa yang penting, kedua-duanya amat berharga dan tidak boleh dilepaskan begitu saja.

Kedua-duanya perlu dihargai kerana mereka mahukan yang terbaik untuk diri anda dan bahagia apabila melihat anda tersenyum.



Dengar kata hati

Untuk seseorang itu menjadi kekasih hati anda, mereka juga perlu berperanan sebagai rakan rapat anda tetapi pada tahap yang lebih tinggi.
Kebiasaannya hubungan kasih sayang antara dua insan bermula sebagai rakan biasa terlebih dulu sebelum wujud keserasian. Justeru tidak mustahil hubungan akrab akhirnya bertukar menjadi cinta.

Ada yang memisahkan perasaan antara kawan dan kekasih kerana bagi mereka ia dua perasaan yang sangat berbeza namun kadangkala perasaan pada rakan akrab mempunyai persamaan dengan perasaan kita pada kekasih. Justeru, belajarlah untuk mendengar kata hati bagi memahami perasaan sebenar pada orang yang rapat di sekeliling.

Ahli falsafah, Plato, menggambarkan perasaan cinta sebagai ‘kegilaan’ dan boleh dikenal pasti dengan beberapa cara. Antaranya, kedua-dua lelaki dan wanita yang mahu mengenal pasti perasaan sebenar mereka terhadap satu sama lain mengambil tindakan berpisah dan mencari satu sama lain semula sekiranya benar-benar cinta itu wujud.

Perbezaan ketara antara perasaan cinta dan persahabatan adalah kekasih tidak mungkin mahu berkongsi pasangan mereka dengan orang lain atau membiarkan kekasih mereka menghabiskan masa dengan orang lain yang dianggap boleh mengancam hubungan mereka.

Keadaan yang sama tidak berlaku pada sahabat biarpun adakalanya wujud perasaan cemburu apabila rakan berbaik dengan orang lain tetapi ia selalunya bersifat sementara.

Cinta selalunya datang secara eksklusif iaitu satu individu saja sedangkan rakan datang dalam jumlah yang lebih ramai. Tarikan fizikal juga menjadi antara elemen yang penting dalam cinta dengan ciri-ciri tertentu yang disukai.

Jika anda masih tercari-cari cinta, jangan meletakkan setiap individu yang dikenali dalam zon tertentu seperti ‘rakan saja’, sedangkan garisan antara zon rakan dan kekasih sebenarnya agak pudar bagi mereka yang masih bujang.

Kekasih juga akan bertengkar dengan cara yang tidak mungkin berlaku dalam kalangan rakan dan bersifat ‘memiliki’ antara satu sama lain. Sekiranya anda tidak berasa begitu pada seseorang, tentulah mereka adalah rakan sahaja.

Anda boleh menipu rakan dan dimaafkan dengan mudah tetapi perkara yang sama sukar berlaku sekiranya anda menipu pasangan terutama dalam hal membabitkan cinta.

Perbezaan utama antara persahabatan dan cinta adalah wujud perasaan lemah-lembut, sayang mendalam dan penuh ghairah terhadap insan yang dikasihi. Ia membabitkan rasa terikat yang kuat dari segi hati dan fikiran selalu teringatkannya.

Cinta selalunya membuatkan seseorang sanggup berkorban untuk kebahagiaan orang yang disayangi biarpun ia mungkin memakan dirinya sendiri.

Ia membabitkan rasa tidak pentingkan diri sendiri dan sanggup melakukan apa saja demi insan berkenaan. Biarpun begitu, sebagai orang Islam, cinta tidak boleh melangkaui batas tertentu demi kebaikan diri sendiri.

Cinta melahirkan perasaan romantik dalam diri seseorang untuk ditunjukkan kepada pasangannya sama ada dalam bentuk perkataan atau perbuatan. Namun rakan sejati tidak membabitkan perasaan romantik, hanya kasih sebagai sahabat.
 
Top