• Sudahkah anda menulis Diari Cinta anda hari ini?
    Sebagai forumer Forum Tentang Cinta, anda kini boleh menulis dan mencoret kisah manis cinta anda di ruangan Diari Cinta. Hanya satu diari sahaja ya dibenarkan untuk setiap seorang.

Selamat Tinggal sesuatu yg sukar Di Ucapkan

dieda

Well-Known Member
Bukan mudah untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kenangan, lebih-lebih lagi apabila kenangan itu sendiri meninggalkan kesan yang cukup bermakna buat kita semua. Kita sendiri mula memikirkan hari-hari tanpanya, tentang bagaimana hidup ini perlu diteruskan, tentang bagaimana perlu diterima hakikat bahawa adalah mustahil untuk semuanya berkumpul semula, tentang bagaimana untuk menghadapi situasi apabila ada sahaja benda yang dilihat, didengar, dihidu mahupun dirasa membawa imbauan detik-detik yang telah pun berlalu.

Ada kata-kata yang mengatakan bahawa adalah tidak terlalu lama untuk kita mengenal seseorang tetapi adalah sangat lama untuk kita boleh melupakannya dari hidup kita. Kebenaran itu dapat kita lihat pada diri masing-masing, hakikatnya memori itu kekal cuma menunggu masa untuk dikenang dan disingkap semula. Kita juga sebenarnya tidak tahu bahawa makna yang tersirat disebalik peristiwa tersebut lebih besar daripada apa yang kita sangkakan. Tuhan meletakkan hikmah disebalik sesuatu kejadian bahkan bagi diri kita yang terbentuk kini adalah implikasi daripada setiap insan yang pernah wujud di sekeliling kita. Sesungguhnya dalam hidup ini kita perlu banyak belajar dan mungkin antara perkara yang sukar untuk kita pelajari adalah bagaimana untuk mengucapkan selamat tinggal.


Sekalipun begitu jangan dilupa bahawa kenangan inilah yang menjadikan kita insan yang lebih baik daripada sebelumnya. Titik tolak kejayaan pada masa mendatang mungkin berpunca dari kenangan pada masa lampau. Kita meletakkan masa hadapan itu sebagai harapan, jika harapan itu dilihat samar-samar keadaannya dan pada situasi yang sama masa kini kurang dapat membantu maka ambillah iktibar pada masa lampau. Kadangkala apa yang kita cari ada pada tempat yang kita tinggalkan.

Adalah hak kita untuk mengingati mahupun melupakan seseorang, meletakkannya sebagai penting ataupun menyusahkan. Hakikat kegembiraan dalam hidup ini bukan dengan kita memiliki segala-galanya yang terbaik tetapi adalah apabila kita memanfaatkan segala-galanya yang hadir dalam hidup kita sebaik yang mungkin. Baik, buruk, pahit, manis, itu semua hanya persepsi kita, lebih daripada itu tidak akan kita temui jika kita tidak cuba untuk mencarinya sendiri. Hidup ini mungkin bukan untuk mencari jawapan tetapi untuk terus bertanyakan soalan kerana kita masih ada sesuatu untuk dilakukan pada hari ini kerana kita masih bertanyakan sesuatu.
 
Top