
“Selamat tahun baru 2019 (in advance)!” – Mr Teddy.
Sedar tak sedar, kita sudah pun nak masuk ke tahun yang baru. Segala apa yang berlaku di tahun ini, kini adalah sejarah yang telah tercatat dalam hidup kita. Ianya tidak boleh diubah maka teruskanlah mencoret dan menulis sejarah yang baru di tahun yang baru ini.
Mungkin ada di antara anda yang merancang untuk berkahwin pada tahun ini. Bagaimana dengan persiapan anda? Adakah anda telah bersedia untuk melalui fasa baru dalam kehidupan anda nanti?
Tips yang akan saya kongsikan di sini bukanlah tips yang biasa anda baca di laman web atau blog yang lain. Kebiasaanya mereka akan kongsikan tentang persiapan kursus kahwin, isi borang nikah, tempahan baju pengantin, dan sebagainya.
Tetapi tips kali ini adalah 4 tips tambahan yang perlu anda tahu untuk anda sebagai bakal pengantin.
Stamina – Sebelum menjelang hari perkahwinan, pastikan stamina dan fizikal anda dalam keadaan yang baik. Ini kerana pada waktu majlis perkahwinan itu nanti, anda perlu sentiasa tersenyum dan rajin melayan tetamu yang hadir. Terutama sekali ketika sesi bergambar. Selama 3-4 jam anda di atas pelamin, sepanjang itulah anda perlu tersenyum di hadapan kamera dan orang ramai.
Mental – Anda juga perlu bersedia untuk mengawal mental dan emosi anda. Percayalah cakap saya. Lagi dekat majlis anda itu nanti, lagi macam-macam masalah yang akan timbul. Kalau anda tak tahan, anda mungkin boleh stress dan migrain. Itu belum lagi dengan masalah barang pelamin tak cukup, kumpulan kompang datang lambat, atau lauk tak cukup. Macam-macam perkara boleh berlaku pada waktu itu. Jadi persiapkan mental anda dengan sebaiknya.
Duit Simpanan – Pastikan anda mempunyai duit simpanan tambahan untuk menampung kos-kos yang tidak termasuk dalam bajet anda. Walaupun anda telah buat kiraan yang secukupnya, tetapi percayalah, akan ada barang-barang tambahan yang perlu anda beli untuk melengkapkan majlis perkahwinan anda nanti. Bukan itu sahaja, selepas majlis perkahwinan pun anda akan pakai lebih banyak lagi duit untuk perbelanjaan anda dan pasangan. Oleh itu, pastikan anda menyimpan duit sebanyak mungkin sebelum majlis perkahwinan anda nanti.
Bantuan – Anda tidak boleh lakukan semuanya dengan sendiri. Adik-beradik, keluarga, saudara-mara, kawan-kawan memang perlu ada untuk bantu anda dalam mengendalikan majlis perkahwinan itu nanti. Ketika majlis berlangsung, anda hanya perlu fokus untuk follow the flow aturcara majlis. Apa benda yang berlaku di belakang tabir, preparation, masalah teknikal dan sebagainya tidak perlu anda fikirkan. Serahkan kepada mereka untuk bantu anda. Tetapi ingat! Bila tiba majlis mereka nanti, anda pula kena turun tolong mereka.
Ini hanyalah sebahagian kecil tips yang dapat saya kongsikan dengan anda. Sebenarnya ada banyak lagi perkara yang perlu anda tahu dalam membuat persediaan sebelum menjelang majlis perkahwinan anda nanti. Tetapi saya percaya, anda akan dapat melalui majlis itu nanti dengan baiknya.
Saya doakan semoga majlis anda itu nanti berjalan dengan lancar, dan perkahwinan yang dibina itu akan kekal selamanya. Aminnn…
Persediaan yang paling penting ialah kesediaan akal yang kita sebenarnya melangkah ke alam yang lain. Dari situ, baru timbul keperluan untuk mempersiapkan diri dari sudut emosi, kewangan, fizikal dan macam-macam lagi. Kalau akal tak disedarkan tentang halatuju ini, confirm semua persiapan pun akan ke laut. Sudahnya, ada yang perjalanan indah ditamatkan dengan cara yang paling kasar – perceraian.
Betul itu. Itu persediaan yang utama selepas persediaan tambahan seperti yang dikongsikan dalam artikel ini.