• Sudahkah anda menulis Diari Cinta anda hari ini?
    Sebagai forumer Forum Tentang Cinta, anda kini boleh menulis dan mencoret kisah manis cinta anda di ruangan Diari Cinta. Hanya satu diari sahaja ya dibenarkan untuk setiap seorang.

Catatan Kasih Di Tengah Keluarga

alia_lamia

New Member
...lalu, dalam impian yang menyala
ku selitkan suatu imaginasi jiwa
di celah-celah realiti kehidupan
agar dapat kau rasai, kekasih...
 

alia_lamia

New Member
Catatan Kasih Di Tengah Keluarga (i)

Selepas perkahwinan Kak Long, majlis perkahwinan akulah yang dianggap paling meriah. Sekurang-kurangnya meriah bagi seluruh keluarga. Semua anggotanya hadir. Akulah yang paling gembira. Gembira, walaupun saat-saat bahagia itu ku nanti dengan penuh debar. Dan yang paling utama inilah kali pertama aku dapat merasakan semua orang memberi perhatian kepada ku.

Kerana aku lelaki, kenduri di pihak ku kecil sahaja. Tetapi di pihak bakal isteri ku, aku tahu, pasti lebih besar lagi. Masakan tidak. Anak bongsu mereka merupakan anak kesayangan keluarga. Dan untuk melepaskan anak perempuan termuda mereka tentulah memerlukan perbelanjaan yang agak besar.

Tetapi bukanlah soal belanja itu yang penting. Aku tidak pernah mempersoalkannya walaupun ibu menentang keras pada mulanya. Bagi ku soal kebahagiaan ku yang lebih utama. Lagi pun aku bukannya tidak mampu. Gaji empat angka ku tentunya tidak menimbulkan sebarang masalah.

Yang menimbulkan masalah ialah bagaimana hendak memelihara kebahagiaan yang terbina itu. Berapa lama ? Atau setakat mana ?

Ketika Kak Teh, kakak ku yang keempat dalam keluarga dan adik perempuan ku, sibuk membuat bunga telur dengan rakan-rakannya, aku cuba menolong. Aku bukanlah pakar di bidang itu. Cuma kerana sudah tiada kerja lain yang dapat ku lakukan, ku cuba juga. Emak menyuruh aku berihat saja malam itu. Malam esok, saat yang menggembira dan mendebarkan itu akan bermula.

"Abang tak payah tolonglah," tingkah adik perempuan ku sambil merampas bunga telur yang hampir siap di tangan ku. "Tengok ni. Macam bunga dimakan ulat saja," tambahnya.

"Yalah. Mengacau saja," sokong Kak Teh tanpa memandang ke arah ku. Kemudian tersenyum. Lucu agaknya.

Aku terhenti seketika. Tapi tangan ku tidak dapat duduk diam. Aku sedar mereka cuma bergurau. Bagi ku itupun merupakan kegembiraan ku. Dan kegembiraan itu merupakan kebahagiaan ku. Lama benar kami tidak bersama. Cuma sesekali apabila Hari Raya. Aku bekerja jauh di tengah kesibukan ibukota. Sedang Kak Teh pula bekerja di bandar berhampiran dan tinggal bersama rakan-rakan. Cuma adik perempuan ku yang tinggal bersama ibu di desa kelahiran ku ini.

"Macam mana abang boleh kenal Kak Su 'tu ?" Tanya adik perempuan ku secara tiba-tiba. Aku nampak terkejut dengan pertanyaan yang tidak di duga itu. Ini adalah kerana suara adikku agak lantang. Tentulah bukan aku seorang sahaja yang mendengar soalannya itu.

"Apalah susahnya. Bukankah dia saudara dua pupu kita ? Neneknya dan nenek kita adik-beradik." Aku bersuara jujur dengan wajah yang selamba. Cuba melindungi kejutan di hati ku.

"Yalah. Tapi bagaimana ? Bukan selalu Man kerumahnya. Kalau ada pun cuma ikut keluarga. Itu pun Man tak banyak berbual semasa di sana," potong Kak Teh.

"Siapa yang kata begitu ?" Bantah ku. Namun di dalam hati aku mengakui kebenaran kata-kata Kak Teh itu.

Aku tahu aku bukanlah seorang yang peramah. Sifat pendiam ku yang keterlaluan selalunya membosankan orang lain. Tentu mereka hairan bagaimana aku boleh bertemu jodoh ku dengan gadis yang jarang ku temui ? Inilah soalan yang selalu diungkapkan. Selalu benar. Terutama oleh adik perempuan ku yang baru mengenal remaja.

Kerapkali ketika berkunjung ke rumahnya, rumah nenek saudara ku, bersama keluarga sebagai mengeratkan silaturrahim, aku tidak menjadi tumpuan utama. Abang-abang serta kakak-kakak ku yang telah dewasa dan ayah serta ibu ku lebih menarik perhatian keluarga mereka. Aku sering menjadi pendengar kepada perbualan antara dua keluarga itu.

Sebenarnya aku sendiri tidak pandai memperdengarkan cerita-cerita yang menarik. Ketika itu aku masih belajar. Alam kehidupan semasa menuntut ilmu cuma suatu ruang yang kecil. Walaupun pengetahuan bertambah, tetapi pengalaman hidup terlalu sedikit.

Dan pastilah menghairankan kedua-dua pihak apabila tiba-tiba aku dan gadis itu, cucu nenek saudara ku, menyuarakan hasrat kami. Lebih-lebih lagi keluarga ku. Mereka menjangka itu cuma gurauan ku semata apabila aku menyuarakan keinginan hendak berumah-tangga. Agaknya mereka terlupa pada beberapa buah diari yang terbiar di atas meja tulis di dalam bilikku yang jarang berpenghuni.

Masih terbayang jelas tika saat manis itu bermula.
 

alia_lamia

New Member
Catatan Kasih Di Tengah Keluarga (ii)

Hari Raya Puasa kali ini adalah merupakan kali pertama seluruh keluarga ku berkumpul sejak sepuluh tahun dulu. Sejak Abang Ngah meninggalkan desa dan berhijrah ke Utara kerana keputusan peperiksaannya yang tidak memuaskan. Ayah dan ibu kecewa kerana Abang Ngah anak lelaki tertua. Abang seakan merajuk dan tidak mahu pulang ke desa walaupun hubungan melalui surat terjalin sekali atau dua kali setahun.

Pada hari raya pertama kami sekeluarga berhari-raya di desa. Tetapi pada hari raya kedua, kami mengunjungi rumah nenek dan nenek saudara ku termasuk rumah ibu dan bapa saudara ku. Datuk tidak sempat ku lihat wajahnya.

Oleh kerana jarak yang memisahkan agak jauh dan tentunya rumah nenekku dan ibu saudara ku lebih utama, kami sampai ke rumah nenek saudara ku agak lewat malam. Jadi kami singgah sebentar sahaja sekadar melepas penat.

Ketika kereta Abang Ngah dan kereta abang iparku, suami Kak Long, berhenti di hadapan rumah mereka, aku telah membayangkan tiada suatu apa pun yang menarik perhatian ku. Seperti yang ku nyatakan, aku bukanlah orang yang utama dalam keluarga ku walaupun usiaku mendekati angka lapan belas. Aku cuma cebisan kecil dari seluruh keluarga ku yang seramai sembilan orang itu.

Kami disambut meriah kerana kunjungan begitu tentunya tak dijangka oleh mereka. Kami terus bersalaman sebagai menambah erat persaudaraan. Oleh kerana ramai yang perlu disalami, aku tergesa-gesa melakukannya.

Tiba-tiba aku terpaku pada gadis kecil yang ku kira usianya tidak melebihi enam belas tahun. Dia baru sahaja bersalaman dengan adik perempuan ku. Senyumnya masih belum hilang ketika dia hendak menyambut tangan ku. Seperti juga aku, senyumnya tiba-tiba mati. Aku bersalaman dengannya seolah-olah tanpa kerelaan. Tiada kata terucap melainkan getar hati yang menyentap.

Keluarga ku di beritahu bahawa nenek saudara ku sakit. Jadi kami tergesa-gesa menemui nenek, bersalaman dan bertanya khabar.

Kunjungan ke situ amat singkat kerana hari telah larut malam. Dalam pada itu entah kenapa aku dan gadis kecil itu sering berpandangan. Kami bukanlah saling mengenali. Kami tak pernah berjumpa sebelumnya. Berat rasa hati ku untuk memulakan perkenalan itu walaupun aku amat mengingininya. Perasaan malu turut menyelubungi hati ku. Tiada kata yang dapat kulafazkan padanya sepanjang berada di situ.

Semasa pulang, kami dua keluarga bersalaman lagi. Tapi kali ini aku tidak berupaya menghulurkan tangan pada gadis kecil itu melainkan melalui pandangan mata. Aku sedar aku belum cukup dewasa untuk mengerti perasaan itu. Dan aku juga sedar gadis itu masih mentah dalam soal perasaan ini. Tentulah kami cuma akan bermain dengan perasaan kelak.

Aku lalu membina harapan semoga suatu waktu dapat bertemu lagi dengannya. Atau sekadar melihat wajahnya dan rambut panjang mengurainya. Tetapi pertanyaan yang utama ialah bila dan di mana ? Aku tak menemui jawabannya. Mungkinkah buat selama-lamanya.
 

alia_lamia

New Member
Catatan Kasih Di Tengah Keluarga (iii)

Aku mengikut Kak Long dan suaminya melihat-lihat tanah pusaka ibu berhampiran rumah nenek. Tanah itu telah terbiar sejak ibu berpindah ke desa ku kini semasa aku di dalam kandungan lagi. Jadi suaminya bercadang mengusahakan tanah itu.

Ketika itu aku baru saja bertukar sekolah selepas berjaya dalam peperiksaan SPM ku kerana di sekolah ku dulu tiada kelas tingkatan enam. Sekolah baru ku itu merupakan tempat suami Kak Long mengajar.

Aku ditawarkan tinggal di asrama tetapi kerana desakan Kak Long, aku tinggal di rumahnya dan menumpang kereta suaminya bila ke sekolah. Tetapi tak lama kemudian aku memohon tinggal di asrama kerana merasa kurang selesa semasa hendak mengulangkaji pelajaran. Tiada teman berbincang.

Waktu itu nenekku sebelah ayah, yang tinggal bersama ibu saudara ku, baru saja meninggal dunia. Oleh kerana sudah terlanjur lalu depan rumah nenek saudara ku yang tak jauh dari situ, lalu kami singgah bertanya khabar. Aku tidak banyak bercakap dan membiarkan suami Kak Long berbual mesra dengan kelaurga di situ. Mungkin aku ini masih terlalu muda dan mentah untuk turut sama dalam perbualan mereka.

Paling menghairankan ku ialah aku terpaksa diperkenalkan buat kali kedua. Sungguh menghairankan. Hati ku tertanya-tanya sebabnya. Tetapi kemudian aku menyedarkan diri ku bahawa aku cuma cebisan kecil dari seluruh keluarga dan saudara-mara ku yang besar itu. Sepanjang hidup ku, aku jarang berada di rumah. Aku dibesarkan di sekolah berasrama sejak di tingkatan satu.

Ketika pulang, malah sepanjang kunjungan itu, aku tidak nampak sekilas pun wajah gadis kecil yang menarik perhatian ku dulu. Aku merasa kecewa kerana tidak dapat melihat rambut panjang mengurainya. Aku mereka-reka di dalam hati. Ah, barangkali dia ke sekolah petang ini. Bukanlah sesuatu yang luar biasa kiranya dia aktif dalam aktiviti persatuan di sekolah. Aku merasa sedikit terhibur dengan jangkaan-jangkaan yang ku buat sendiri.

Tapi ketika kereta suami Kak Long meninggalkan perkarangan rumah nenek saudara ku itu, aku yang duduk di belakang kehairanan kerana tiba-tiba Kak Long melambaikan tangannya. Aku menoleh dan ternampak gadis kecil itu sedang mengayuh basikal dalam pakaian seragam sekolah. Dia berpaling ke arah kami. Lalu aku pantas melarikan pandangan mata ku walaupun aku tahu dia memandang ke arah Kak Long dan bukan pada ku.

Setelah agak jauh barulah aku menoleh ke belakang dan nampak dia di samping ayah dan ibunya memerhatikan kenderaan kami berlalu. Terasa sesuatu menyentuh perasaan ku setelah dia hilang dari pandangan. Perasaan yang sukar ditafsirkan.
 

alia_lamia

New Member
Catatan Kasih Di Tengah Keluarga (iv)

Aku sedang bersiap-siap menghadapi peperiksaan STP ketika datang telegram menyatakan nenek ku sebelah ibu meninggal dunia. Aku hanya pulang tiga hari kemudian kerana sibuk dengan pelajaran tetapi tidak kembali ke desa. Aku singgah di rumah Mak Ngah, kakak ibu ku, untuk menziarahi kubur nenek. Kenduri arwah di rumah Mak Ngah telah masuk hari ke tiga.

Aku tidak merasa sedih kerana aku sedar tentang nenek yang telah uzur dan sakitnya yang agak teruk. Tetapi apabila aku sampai di rumah Mak Ngah, aku disambut dengan tangisan. Menyedari aku salah seorang cucu kesayangan nenek, tiba-tiba airmata ku menitis. Serta-merta aku mendakap ibu ku dan Mak Ngah kerana aku tahu mereka lebih merasa hiba atas pemergian ibu mereka. Kesedihan seperti itu tidak terlihat pada ayah ketika kematian ibunya dulu. Sebaliknya, ada ku lihat ayah marah kerana lambat di beritahu.

Saudara-mara ku yang jauh kebanyakannya telah pulang. Cuma tinggal saudara-mara ku yang terdekat di rumah Mak Ngah pada malam ketiga kenduri arwah nenek. Yang tinggal termasuklah nenek saudara ku, anak-anak dan cucu-cucunya.

Sepanjang berada di situ aku menyedari bahawa aku sering di perhatikan oleh seseorang. Aku pura-pura tidak nampak kerana aku tidak mengenali siapa dia. Cuma yang ku tahu gadis itu rambutnya separas bahu.

Malam itu ketika mengangkat makanan selepas majlis tahlil, aku menjadi penyambut dulang hidangan di ruang tamu. Ruang tamu cuma dipenuhi orang lelaki. Aku tersintak bila berhadapan dengan gadis itu. Dia menghulurkan hidangan kepada ku sambil tersenyum. Aku turut tersenyum tanpa memikirkan apa-apa dalam keadaan terpaksa. Tapi, tiba-tiba aku merasakan aku pernah melihat gadis itu. Tetapi di mana ?

Memang benar, dialah gadis yang ku lihat di rumah nenek saudara ku dulu. Dialah gadis kecil berambut panjang yang menarik perhatian ku dulu.

Ketika betembung untuk kali kedua, aku menegurnya dengan perasaan gementar.

"Sejak bila rambut 'ni dipendekkan ?" Suara ku agak tertahan-tahan.

"Dah lama..." Jawabnya perlahan sambil tesenyum.

Itulah kali pertama aku mendengar suaranya sejak dia menjadi semakin dewasa dan matang. Suaranya tidak lagi kedengaran keanak-anakan. Cuma aku masih tidak mengetahui namanya melainkan nama timang-timangannya yang ku dengar dari perbualan adik perempuan ku. Kak Su, panggil adik ku.
 

alia_lamia

New Member
Catatan Kasih Di Tengah Keluarga (v)

Aku pulang bercuti setelah menamatkan tahun pertama pengajian ku di universiti. Sebagaimana biasa, aku menghabiskan cuti panjang itu di desa sahaja. Bagi ku cuti itu terlampau panjang disebabkan kurangnya perkara-perkara menarik yang dapat ku lakukan. Kadang-kadang aku merasa bosan di rumah sendirian. Terasa kesal juga di hatiku kerana tidak turut serta dalam beberapa aktiviti semasa cuti di kampus.

Abang-abang ku kini semuanya berada di rantauan. Kak Long mengikut suaminya. Sedang Kak Teh pula turut meninggalkan desa bekerja di bandar. Yang ada di rumah cuma aku, ayah, ibu dan adik perempuan ku. Adik lelaki bongsu ku tinggal di asrama sekolah berhampiran mengikut jejak langkah ku.

Di pertengahan cuti ku, Kak Long pulang bersama suami dan dua anaknya. Barulah kedengaran riuh sedikit rumah kami. Dan barulah rasa sunyi dan bosan di hati ku hilang sedikit.

Seperti biasa, apabila keluarga ku telah berkumpul beramai-ramai, banyaklah cerita menarik yang dibualkan. Kebetulan, esoknya, Kak Teh pula pulang bercuti dua hari. Semakin banyaklah cerita yang dibawa.

Dalam sibuk bercerita itu tiba-tiba sampai ke soal kahwin. Pada mulanya Kak Long cuma menyindir Kak Teh yang masih tak mahu kahwin walaupun usianya sudah melebihi dua puluhan. Tapi akhirnya sampai kepada persoalan yang menjadikan aku terpegun mendengarnya. Dan aku sedikit pun tak upaya menambah.

"Jangan nak jadi macam anak Pak Long sudahlah," sindir Kak Long. " Tak mahu kahwin-kahwin."

"Siapa dia, Mak ?" Potong adik perempuan ku yang selalu menganggap ibu mengenali seluruh saudara-mara kami.

"Kak Su kaulah," kata ibu mendatar. "Sudah dua kali dipinang orang. Tapi dia menolak. Entah apa sebabnya, tak siapa pun tahu," terang ibu lagi.

Memanglah aku benar-benar tersintak mendengar berita pinangan itu. Hati ku tertanya-tanya. Mengapa ? Mungkin usianya masih terlalu muda untuk itu. Barangkali baru sembilan belas tahun.

Kalau dia berkahwin, aku tidak dapat membayangkan apa-apa. Tetapi kekecewaan pasti melanda hati ku.

Namun kadang-kadang aku tertanya-tanya sendirian. Mengapa dia menolak pinangan itu ? Kerana akukah, tanya hati ku lagi. Ah, tidak mungkin. Jauh benar dari kenyataan. Walaupun aku ada menaruh perasaan terhadapnya, tetapi ia cuma cebisan perasaan. Aku bukanlah kenal pasti dengannya. Sedangkan namanya yang sebenar pun masih tidak ku ketahui. Hendak ku tanyai ibu, apa pula anggapan anggota keluarga ku yang lain nanti. Entah apa pula sindiran mereka kelak.
 

alia_lamia

New Member
Catatan Kasih Di Tengah Keluarga (vi)

Hari Raya Haji tahun itu tidak di sambut meriah. Walaupun keluarga ku tidak lengkap kerana Abang Ngah tidak dapat pulang, kegembiraan dan keharuan di pagi raya tetap terasa. Terutama ketika bersarapan pagi dan bermaaf-maafan sesama keluarga sebelum menunaikan sembahyang raya. Raya Haji tahun itu disambut sederhana seperti tahun-tahun sebelumnya kerana keluarga ku sering menganggapnya sebagai menumpang raya.

Tapi kunjungan ke rumah saudara-mara ku tidak dilupakan. Paling menggembirakan hati ku ialah tarikh hari raya itu berhampiran dengan tarikh harijadi ku yang keduapuluh dua tahun. Buat pertama kali seluruh keluarga meraikan ulang tahun kelahiran ku itu.

Ibu mencadangkan agar menziarahi kubur nenek pada hari raya kedua. Cadangan ibu memang jarang dibantah. Dengan dua buah kereta kami bertolak pada keesokan harinya.

Dalam perjalanan pulang tengahari itu kami singgah di rumah nenek saudara ku. Sesampainya di situ barulah diketahui nenek saudara ku tidak berupaya lagi bergerak dari katil tempat beliau berbaring. Ku lihat tubuh nenek terlalu kurus. Ketika bersalaman ku dapati nenek sudah tidak dapat mengenali kami lagi. Namun beliau tetap tersenyum. Ibu hampir menitiskan airmata melihat keadaan emak saudaranya

Aku beralih ke serambi kerana tidak senang hati melihat suasana pilu begitu. Mata ku liar mencari-cari dengan harapan gadis berambut panjang itu ada di situ. Ku lihat dia duduk memangku bayi di kerusi berhampiran tangga dan pintu masuk. Ku hampiri dia.

"Anak siapa 'ni ?" Soal ku sekadar menjadi sebab memulakan perbualan. Ku cuba mendukung bayi itu. Tapi aku agak kekok.

"Anak kakak," ujarnya. "Hei... jangan. Nanti terjatuh."

"Tak apalah." Aku melepaskan pegangan ku ke atas bayi itu. Tapi serta-merta aku kehilangan idea. Tak tahu apa lagi yang dapat diperkatakan.

Aku terdiam di atas kerusi di sebelahnya. Suasana hening seketika. Ku lihat dia selamba dan berpura-pura sibuk dengan bayi itu.

Tiba-tiba cahaya terang seperti kilat memancar di depan kami. Aku tersintak. Begitu juga dia. Ku lihat jauh di hujung berhampiran pintu tengah Kak Long tersenyum riang dengan kamera di tangannya. Aku menjadi serba-salah. Gadis itu cepat-cepat berlalu meninggalkan ku.

"Nanti dulu," kata ku cuba menahan.

"Nak tukar lampin budak 'ni," potongnya pantas.

Aku tahu itu alasannya sahaja. Agaknya dia merasa malu bila dilihat berduaan dengan ku (atau bertiga termasuk bayi itu).

Sewaktu menghadapi hidangan tengahari aku cuma makan sedikit sahaja kerana selera ku tersangkut di tekak ku oleh rasa malu seolah-olah semua mata tertumpu pada ku. Kami dua keluarga makan beramai-ramai serentak. Tentulah aku menyedari dia berada bersama. Paling menggelisahkan hati ku ialah gambar yang telah di rakam oleh Kak Long. Aku khuatir akan adanya anggapan-anggapan lain kemudian nanti. Anggapan yang menyinarkan harapan ku.

Dua minggu berikutnya, ketika berada di kampus, surat dari Kak Long tiba. Di dalamnya tertera dua keping gambar ku dan gambar gadis itu yang diambilnya dulu. Katanya dalam surat itu, jangan bimbang, gambar itu cuma ada dua keping sahaja. Dan hanya dia dan suaminya yang telah melihatnya.

Aku merasa lega kerana aku tahu Kak Long sentiasa jujur pada ku. Tapi aku tidak tahu cara hendak mengirimkan sekeping gambar itu kepada gadis itu tanpa diketahui oleh orang lain. Aku benar-benar tidak tahu !
 

alia_lamia

New Member
Catatan Kasih Di Tengah Keluarga (vii)

Ini bukanlah kali pertama aku mengikut Abang Lang menziarahi saudara-mara pada Hari Raya. Kalau abang mengajak, aku tak pernah menolak. Aku sebenarnya bukanlah rakan yang sesuai buat Abang Lang. Aku jarang berbual panjang dengannya. Tapi kerana aku anak lelaki tertua selepas dia dan Abang Ngah baru sahaja beberapa bulan berumahtangga, Abang Lang tiada pilihan lain.

Ketika dalam perjalanan, kata abang, dia hendak melawat tunangnya di pinggir Pantai Selat Melaka sana. Tunang yang diikatnya enam bulan lalu. Aku pada mulanya membantah. Hujah ku, abang tadi mengajak aku melawat saudara-mara. Selepas itu nanti, abang cuba mematikan perbualan. Kita singgah rumah nenek nanti, aku mengusulkan. Nak buat apa, bantah abang, bukan nenek kita. Nenek saudara kita, tingkah ku.

Tapi kami singgah juga dalam perjalanan pulang pada petangnya. Bagi ku tiada lain yang ku harapkan selain dapat bertemu dengan gadis itu. Macammana rupanya sekarang ? Dan berbagai-bagai perkara lagi yang ingin ku ketahui.

Aku tidak hampa kerana gadis itulah yang keluar ke ruang tamu menghidangkan minuman. Ku lihat wajahnya tidak banyak berubah. Cuma tubuhnya nampak kurus sedikit. Kau sakitkah, ingin ku tanya demikian, tapi tentunya nampak tidak sopan kerana ayahnya ada bersama kami. Hasrat ku membeku di hati.

Ayahnya, Pak Long saudara ku itu, memang seorang yang peramah. Apabila bercerita tentang zaman Jepun, aku dan abang tiada peluang mengeluarkan kata selain dari tersenyum, ketawa dan mengangguk-ngangguk kepala tanda kagum dan setuju. Ceritanya lancar dan jelas. Makan malam di sini nanti, pelawanya, jangan tolak-tolak. Abang melihat jamnya dan menoleh pada ku mencari alasan. Tapi aku segera menyetujuinya. Seronok mendengar kisah keperwiraannya ketika menentang tentera Jepun.

"Hari langsungnya bila ?" Soalnya kepada abang apabila perbualan bertukar tajuk.

"Cuti penggal tiga sekolah nanti," jawab abang.

"Orang mana ?" Soalnya lagi.

"Waris kita juga," jawab abang.

"Adik kau 'ni bila pula ?" Dia meneruskan.

Abang menoleh pada ku mengharapkan aku menjawabnya kerana sejak tadi aku hanya menjadi pendengar sahaja.

"Pelajaran belum tamat," jawab ku.

"Kalau mahu, Pak Long boleh carikan. Di rumah 'ni pun ada sorang," Dia berseloroh.

"Kak Su 'tu belum ada ke yang berkenan ?" Soal abang. Walaupun abang memanggilnya kak, tapi abang lebih tua dari gadis itu. Itu cuma nama timangan sahaja.

"Dah tiga. Bulan lepas baru masuk merisik. Serupa sahaja jawabannya. Tak mahu kahwin," jelas Pak Long saudara ku itu.

Sampai di situ hati ku tersentuh. Mengapa, tanya hati ku. Mengapa gadis itu masih menolak pinangan yang datang. Tetapi di hati ku keriangan itu lebih jelas terpancar.

Senja itu ayahnya ke surau. Agak lambat pulangnya. Abang ke pekan berhampiran kerana ada kerosakan kecil pada lampu keretanya. Dia khuatir kerana pulang nanti waktu malam. Takut timbul masalah di tengah jalan. Aku tidak dibenarkan ikut. Sebentar sahaja pun nak ikut, tegah abang. Abang memang tidak suka kalau aku melambatkan tujuannya.

Waktu itulah aku berpeluang menemui gadis itu dan berbual-bual dengannya menantikan abang ku dan ayahnya pulang. Kami berbual di ruang tamu yang diterangi lampu kalimantang, di tempat yang sama gambar kami pernah dirakamkan.

"Bila habis kuliah ?" gadis itu memulakan.

"Setahun lagi," aku menjawab pendek.

Serta-merta percakapan itu terhenti seolah-olah penulis kematian ilham. Setelah beberapa ketika barulah aku meneruskan apabila teringat sesuatu.

"Gambar kau ada aku bawa," ujar ku.

"Gambar yang mana ?" Dia kehairanan. Mungkin terlupa.

"Tengoklah nanti. Ah... Tertinggal dalam kereta abang. Tunggulah bila dia pulang nanti."

Perbualan terhenti lebih lama dari tadi.

"Aku dengar kau dipinang orang," kata ku perlahan. Suara ku lemah.

Dia menoleh pada ku. Tidak menggeleng dan tidak mengangguk. Dari wajahnya yang sayu seolah-olah ada sesuatu yang ingin di perkatakannya kepada ku. Tapi dia kelihatan tak dapat melafazkannya.

"Datang nanti ya, di hari perkahwinan abang ku. Lagi pun kau belum pernah ke rumah ku." Aku mempelawa, mengalihkan perbualan kerana hati ku cepat gelisah dengan suasana muram seperti itu.

Dan perbualan itu terus mati di situ.

"Adik !" Satu suara lembut kedengaran memanggilnya.

"Ibu panggil 'tu. Saya masuk ke dalam dulu. Nak tolong ibu hidangkan makanan." Dia tergesa-gesa meninggalkan ku sendirian di ruang tamu itu.

Aku pura-pura membaca sebuah majalah yang baru ku capai dari atas meja di sebelah ku. Nampak ibunya menjenguk di pintu tengah. Aku menegurnya seperti biasa seakan tiada apa-apa yang berlaku.
 

alia_lamia

New Member
Catatan Kasih Di Tengah Keluarga (viii)

Aku bercuti dua minggu serentak dengan cuti penggal ketiga persekolahan. Majlis perkahwinan Abang Lang di pertengahan cuti ku. Tahun itu adalah tahun keempat dan terakhir ku di universiti. Bermakna di usia ku yang hampir sesuku abad ini aku masih lagi menuntut. Bermakna hutang budi ku kepada seluruh keluarga masih belum berbayar.

Gadis itu datang sehari lebih awal bersama ibunya untuk membantu semasa kenduri perkahwinan abang. Sudah menjadi adat dan kebiasaan kami adanya pertolongan seperti itu dari saudara-mara terdekat.

Tapi aku tiada berpeluang berbual dengannya. Di rumah ku setiap waktu, siang dan malam, penuh dengan saudara-mara ku, lelaki dan perempuan. Barulah aku dapat melihat betapa ramainya saudara-mara ku. Aku juga mula menyedari betapa eratnya hubungan persaudaraan dan kekeluargaan kami. Dengan sepupu ku sendiri terasa seakan adik-beradik.

Sesekali aku dan gadis itu saling berpandangan. Tetapi kami seolah-olah saling mengerti dengan keadaan sekeliling waktu itu. Dan aku hampir-hampir merasa kecewa setelah kenduri perkahwinan abang selesai. Tiada peluang bagi ku berbual lama dengannya selain tegur-sapa ketika berselisihan di dalam rumah ku, di tengah orang ramai itu.

Akhirnya kesempatan tiba di akhir majlis persandingan Abang Lang. Ketika bergambar kenangan bersama kedua pengantin, aku sengaja menghampiri dan mengambil tempat di sebelahnya.

"Susah benar hendak bercakap dengan kau," kata ku.

"Seganlah. Jangan cakap di sini. Nanti semua orang tahu," katanya sambil cuba beralih tempat. Aku dapat menghalangnya.

"Biarlah. Biar semua orang tahu," kata ku penuh yakin. "Sebelum pulang nanti jangan ambil gambar yang dulu. dah lama benar aku simpan," sambung ku lagi.

Aku sedar hubungan ku dengan gadis itu mula disedari oleh sebahagian anggota keluarga ku. Tetapi sikap ku yang bersahaja mengurangkan keyakinan mereka. Tambahan pula aku sering membayangkan bahawa pelajaran ku lebih penting dari segala-galanya.

"Bukankah aku masih menuntut ? Kalau aku mahu, di kampus ada beribu yang sepadan," ulang ku selalu apabila kakak-kakak atau abang-abang ku mengusik ku tentang hubungan dengan gadis itu.
 

alia_lamia

New Member
Catatan Kasih Di Tengah Keluarga (ix)

Pecah perkhabaran itu hanya beberapa bulan selepas aku memulakan alam pekerjaan. Aku akan bertunang. Memang aku telah merancangkanya dengan teliti. Tetapi kerumitan itu tetap timbul. Soal hantaran belanja perkahwinan menjadi bualan hangat dalam keluarga ku. Sebab utama ialah aku lepasan universiti dan tentunya bergaji besar.

Dalam soal hantaran belanja, hubungan kekeluargaan tidak langsung dikaitkan. Aku merasa hairan sedangkan aku dan gadis itu besaudara dua pupu. Namun aku tidak dapat berbuat apa-apa. Semuanya adalah urusan ibu dan bapa saudara ku.

Kekecohan itu bermula apabila aku secara terus-terang menemui ayah gadis itu, Pak Long saudara ku itu, dan menyatakan hasrat hati ku. Tentulah pada pandangannya aku telah melanggar adat. Dan kekecohan itu bertambah kerana gadis itu tidak pula menolak. Ini memeranjatkan seisi keluarganya. Kami telah berjanji lama dulu, jelas gadis itu kepada ibunya dalam ceritanya kepada ku di satu pertemuan. Jadi kau juga telah berterus-terang dengan ibu mu, balas ku gembira.

"Tapi ada lagi masalah. Ibu bercadang meletakkan harga yang tinggi," katanya lagi.

"Berapa ?" Aku gelisah.

"Empat ribu sekurang-kurangnya. Kata ibu, 'kan abang pegawai tinggi. Takkan tak mampu," jelasnya lagi.

Aku terdiam. Terpegun dengan situasi yang jarang ku hadapi. Tetapi di hati ku perasaan yang lain lebih kuat menguasai. Perasaan ku terhadap gadis itu.

"Soal wang memang tiada masalah. Tapi hubungan kekeluargaan kita kemudian kelak. Inilah kali pertama abang dengar hantaran sebanyak itu dalam keluarga kita. Apa pula kata orang nanti sedangkan kita bersaudara," kata ku.

"Pendapat abang bagaimana ?" Soalnya pada ku.

"Begini saja. Katakan kepada ibu mu, berapa sahaja, abang akan setuju. Nanti abang akan jelaskan pada ibu abang," aku mencadangkan. Dia tidak membantah.

"Sepatutnya soal kebahagiaan kita yang lebih utama." Kata ku sebelum berpisah.

Dia merenung ku penuh simpati.
 

alia_lamia

New Member
Catatan Kasih Di Tengah Keluarga (x)

Sebaik sahaja majlis perkahwinan ku berakhir, seluruh keluarga ku berkumpul. Beberapa orang saudara-mara ku serta jiran-jiran terdekat masih berada di rumah ku. Soalan utama yang ditujukan kepada ku ialah tentang hubungan silam ku dengan isteri ku. Bagaimana, kami semua langsung tak menduga, soal Abang Lang.

"Abang mesti ceritakan. Mesti. Abang janji dulu," desak adik perempuan ku.

"Tanya Kak Su kau," kata ku. "Berapa lamanya hubungan kami..."

Isteri ku hanya tersipu-sipu. Aku mengerti perasaan hatinya. Begitu juga kemurniaan dan ketabahan hatinya. Aku cuma mengharapkan kebahagiaan hidup bersamanya.

"Berapa lama ?" Adik perempuan ku mendesak lagi.

"Hampir enam tahun..." Kata ku perlahan

Dan aku tak dapat lagi membayangkan wajah mereka yang seakan tidak percaya.
[ TAMAT ]
 
Top